Pendapat Imam Syafi’i Tentang Taqdir

Imam al-Baihaqi meriwayatkan dari ar-Rabi’ bin Sulaiman, katanya, Imam Syafi’i رحمه الله pernah ditanya tentang taqdir, jawapan beliau:

Apa yang Engkau kehendaki terjadi
Meskipun aku tidak menghendaki
Apa yang aku kehendaki tidak terjadi
Apabila Engkau tidak menghendaki

Engkau ciptakan hamba-hamba
Sesuai apa yang Engkau ketahui
Maka dalam ilmu-Mu
Pemuda dan datuk berjalan

Yang ini Engkau kurniai
Sementara yang itu Engkau rendahkan
Yang ini Engkau beri pertolongan
Yang itu tidak Engkau tolong

Manusia ada yang celaka
Manusia juga ada yang beruntung
Manusia ada yang buruk rupa
dan ada juga yang bagus rupawan[1]

Imam al-Baihaqi menuturkan dalam kitab Manaqib asy Sayfi’i, bahawa Syafi’i رحمه الله mengatakan: “Kehendak manusia itu terserah kepada Allah عزّوجلّ. Manusia tidak berkehendak apa-apa kecuali dikehendaki oleh Allah عزّوجلّ Rabbul ‘alamin. Manusia itu dapat mewujudkan perbuatan-perbuatan mereka. Perbuatan-perbuatan itu adalah salah satu makhluk Allah عزّوجلّ. Taqdir baik maupun buruk, semuanya dari Allah عزّوجلّ. Azab kubur itu hak (benar), pertanyaan kubur juga hak, bangkit dari kubur juga hak, hisab (perhitungan amal) itu juga hak, syurga dan neraka juga hak, begitu dalam sunnah Nabi صلي الله عليه وسلم.”
[2]

Imam al-Lalaka’i meriwayatkan dari al-Muzani رحمه الله, katanya, Imam Syafi’i رحمه الله berkata: “Tahukah kamu siapa penganut fahaman Qadariyah itu? Yaitu orang yang mengatakan bahawa Allah عزّوجلّ tidak pernah menciptakan sesuatu sampai hal itu dikerjakan orang.”[3]

Imam al-Baihaqi meriwayatkan dari asy Syafi’i رحمه الله, beliau berkata: “Kelompok Qadariyah yang oleh Rasulullah صلي الله عليه وسلم disebut sebagai kelompok Majusi dari Umat Islam[4] adalah orang-orang yang berpendapat bahawa Allah عزّوجلّ itu tidak mengetahui maksiat sampai ada orang yang mengerjakannya.”[5]

Imam al-Baihaqi juga meriwayatkan dari ar-Rabi’ bin Sulaiman dari Imam Syafi’i رحمه الله, bahawa beliau tidak mahu solat menjadi makmum di belakang penganut fahaman Qadariyah.[6]

Footnote:

1. Manaqib asy-Syafi’i, 1/412-413. Syarh Ushul I’tiqad Ahl as-Sunnah wa al-Jama’ah, II/702.
2. Manaqib asy- Syafi’i, I/415
3. Syarh Ushul I’tiqad Ahl as-Sunnah wa al-Jama’ah,II/701
4. Sunan Abi Daud, Kitab as-Sunnah, V/66. Mustadrak al-Hakim. U/85
5. Manaqib asy Syafi’i, I/413
6. Ibid

Leave a comment